KL Fringe 08 : Emansipasi Emosi Manusia
Posted by Bayan under Riwayat Jalanan | Label: filem pendek, KL Festival,KL Fringe 08 |Aku hanya manusia sepi yang kadangkala ingin menjerit mahukan kebisingan kemerdekaan yang sebenar. Ahhhh….dunia, adakah kau dengar ini? Ini suara hatiku!
KL Fringe Festival 2008 sempena KL Festival sepanjang bulan Julai 2008 (1-31 Julai), masih berlangsung.
Terlalu banyak aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur. Pilih sahaja yang mana. Ini bukan zaman harus diberitahu dan diuar-uarkan setiap apa yang berlaku di sekeliling kita. Ini zaman kita mencari maklumat sendiri. Zaman kita keluar dari kepompong dan mencari pengalaman sendiri.
Ya, terlalu banyak aktiviti menarik yang dijalankan. Kamu yang berminat, berusahalah mencari maklumat itu dan seakhirnya jika kamu ketinggalan jangan salahkan pihak itu atau ini yang kononnya tidak mempromosi dengan baik.
Berbalik kepada Festival KL yang menyediakan pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek seni persembahan, seni tampak, bahasa dan persuratan, warisan dan kebudayaan serta acara-acara lain yang sememangnya perlu diterokai terutama bagi generasi muda yang kononnya penuh dengan energi dan semangat, namun sering tersilap laluan sehingga dilihat sebagai generasi yang kecundang. Tapi, tidak semua kecundang.
Menonton KL Fringe pada 16 Julai 2008 yang lepas yang mengumpulkan beberapa filem pendek untuk tontonan umum
1. TUNGGU AKU DALAM SEMINIT LAGI
dir:Abror Rivai duration: 15mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
2. ANAK-ANAK BUMI TERCINTA
dir:Amirul ‘Ariff A. Wahab duration: 25mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
3. 10 TAHUN SEBELUM MERDEKA
dir:Fahmi Fadzil duration: 35mins genre:documentary
language: English & Bahasa Melayu with English subtitles
4. KAPAL KERTAS
dir:Fazlina Hishamuddin duration: 26mins
language: Bahasa Melayu with English subtitles
5. KOPITIAM KURANG MANIS
dir: Azri Abu Hassan duration:15mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
6. BILA PUNGGOK RINDUKAN BULAN?
dir:Bennylita Nasuty Ramlee duration: 15mins genre:fiction- fantasy
language: Bahasa Melayu with English subtitles
Tetapi saya hanya sempat menonton 3 filem pendek iaitu Kapal Kertas, Tunggu Aku Dalam Seminit Lagi dan 10 Tahun Sebelum Merdeka. Ketiga-tiga filem pendek ini memang membuat saya teruja. Dengan tema yang berbeza saya rasa pengarah ketiga-tiga filem ini berjaya memperkenalkan saya dengan tiga dunia yang berbeza.
Kekosongan jiwa dan pengisian kehidupan yang bagaimana yang harus dipilih oleh seseorang, terkandung dalam filem pendek berjudul Tunggu Aku Dalam Seminit Lagi karya Abror Rivoi. Permainan emosi melalui lagu dan paparan pergerakan watak tanpa dialog dan dengan dialog yang penuh, sungguh mencabar saya untuk memahaminya.
Lebih menarik bagi saya ialah pemaparan sejarah melalui bahan-bahan dari arkib dan temubual dengan orang-orang lama yang terlibat dalam peristiwa mogok Hartal seluruh Malaya yang dijalankan sebagai membantah Perlembagaan Federation ciptaan rejim kolonial British dan UMNO, serta kebangkitan sebuah gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka.
Ya, saya sebagai generasi muda agak ‘ternganga’ dengan pemaparan filem pendek/dokumentari bertajuk Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza ini. Sungguh, tidak seperti bosannya mempelajari sejarah melalui buku-buku teks yang saya pelajari dahulu. Saya semakin mencintai sejarah bangsa dan negara saya apabila menonton filem ini.
Filem ketiga yang saya tonton ialah Kapal Kertas karya Fazlina Hishamudin yang pernah dicadangkan oleh Tok Rimau suatu ketika dahulu. Ini kisah gadis sepi katanya. Falsafah tentang pertemuan, perkongsian dan perpisahan dipaparkan dengan agak menarik. Mungkin juga saya terpesona dengan falsafah fotografi yang digunapakai oleh watak Ilham Hakimi. Mengambil gambar kesedihan. Apa yang lebih penting ialah garapan kehidupan yang pelbagai. Bagaimana manusia menanganinya, apatah lagi seorang gadis.
Saya bukanlah orang yang tepat untuk mengulas filem-filem pendek yang saya tontoni itu. Dan itu bukan tujuan saya menerbitkan entri ini. Membuka jiwa menonton filem pendek ini membuatkan saya terfikir beberapa perkara yang agak positif.
Saya mengagumi mereka yang menghasilkan filem-filem pendek seperti ini. Filem pendek bukan satu kerja main-main atau ’syok sendiri’. Ia hadir sebagai pengisian rohani di tengah kemelut politik dan isu-isu semasa negara yang sebahagian besar dari kita tak mampu buat apa-apa pun. Sekadar bercakap, meluah rasa hati melalui blog dan paling teruk mungkin menyumpah seranah pihak tertentu.
Pada mulanya saya menganggap mereka yang berkarya sebegini lebih kepada ‘mencari sesuatu sebagai hujah bela diri atau escapisme’ terhadap kemelut negara yang tersangkut dengan pelbagai isu.
Seakhirnya, saya melihat ia sebagai satu disiplin yang mantap dalam memberi ruang kepada individu terutama remaja, yang kreatif dan luar biasa untuk berkarya sebebas-bebasnya.
Bak kata seorang teman yang giat dan aktif dalam bidang seni persembahan ini, yang mengatakan;
Filem pendek merupakan satu ruang untuk mereka mencabar peraturan dipelajari dan seterusnya menempatkan diri dalam kelompok blue ocean.
Blue Ocean Strategy dihasilkan oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborqne. Kedua-duanya dari INSEAD Blue Ocean Strategy Institute. Buku ini telah terjual lebih daripada 1 juta naskhah pada tahun pertama diterbitkan dan telah diterjemahkan kepada 41 bahasa
Blue Ocean lebih kepada mencipta sesuatu yang lain dari yang ada sekarang ini.
Walaupun saya bukan orang yang tepat untuk memberi komen atau pendapat, sebagai penonton saya melihat pembikinan filem pendek sebagai suatu ruang yang kreatif dalam menyampaikan emosi, rasa hati, pendapat, pandangan dan sebagainya.
Kehebatan filem pendek yang dihasilkan bukan terletak pada kos menghasilkannya atau props (peralatan yang digunakan) dan latar belakang tempat yang diambil. Ia lebih kepada pandangan mata dan hati seseorang dalam menyampaikan sesuatu maksud.
No comments:
Post a Comment