Tuesday, June 24, 2008

Monolog "YB JEE"



Marlenny Deenerwan (Pelakon & Penulis Skrip)

Marlenny Deenerwan merupakan graduan Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya yang juga pemegang Diploma Seni Penulisan Kreatif dari Akademi Seni Kebangsaan. Melibatkan diri dengan teater sejak 1998 dan sehingga kini telah  berlakon dalam lebih 30 produksi membabitkan teater moden dan juga tradisional. Dalam bidang lakonan beliau telah meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Teater Wilayah Persekutuan dan Festival Teater Malaysia 2003 menerusi pementasan Dewan Persidangan (M.Nasri Ayob), serta anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Teater MAKUM 2005 menerusi pementasan muzikal Selendang Sakti (Roselina Khir). Turut tercalon dalam 5 finalis bagi kategori Best Actor In A Leading Role dalam Anugerah Boh-Cameronian 2006 menerusi monodrama Laut Lebih Indah Dari Bulan (Namron). Bermula 2002, Marlenny mula terbabit dalam bidang pengarahan pentas dan sehingga kini beliau telah mengarahkan beberapa produksi antaranya No Smoking Please, The Maids, The Glass Menageries, The Zoo Story, Melati & Melur serta Dari M ke M

Aktif dalam bidang penulisan skrip televisyen dan pentas, beliau telah menghasilkan 11 buah drama yang telah dipentaskan serta lebih 20 skrip televisyen sama ada untuk produksi drama, iklan dan juga program bual bicara. Bakatnya dalam bidang penulisan lirik turut membawa beliau meraih anugerah Lirik Terbaik dalam Festival Nasyid Kebangsaan pada 2002 dan 2004. Skrip filem pendeknya berjudul Mencari Jalan turut meraih Hadiah Ketiga dalam Peraduan Menulis Skrip anjuran Finas pada 2005.

Anak jati Sabah ini juga aktif menjalankan penyelidikan ke atas teater tradisional dan dilantik sebagai Pegawai Penyelidik bagi KeKKWa pada 2006. Kini, Marlenny sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang teater tradisional di Universiti Malaya dan menjadi tenaga pengajar di beberapa buah institusi pengajian tinggi.

 M.Nasri Ayob (Pengarah)


Pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Kebangsaan dan kini merupakan pekerja sepenuh masa dalam produksi televisyen dan juga filem. Dalam bidang teater beliau telah terlibat menjayakan lebih 40 buah produksi sama ada sebagai pelakon, pengarah dan juga pekerja produksi. Pernah meraih anugerah Pengarah Terbaik dalam Festival Teater Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2003 dan juga Pengarah Terbaik Festival Teater Malaysia 2003 menerusi drama Dewan Persidangan. Antara drama lakonannya termasuklah Hamlet (Faridah Merican), The Tempest (Zahim Al-Bakri), Macbeth (Ahmad Yatim), Julius Caesar (Marzuki Ali), Jejak Pahlawan (Khalid Salleh) Taming Sari (Rahman B.) dan Siti Zubaidah (Zakaria Ariffin). Manakala pementasan yang diarahkannya termasuklah Nur, Tok Perak, Sangkar Madu, Awal & Mira, Zikir Ratna, Brutus Casius dan Kereta Kencana.

Dalam bidang televisyen, beliau telah terbabit dalam lebih 20 produksi televisyen dan filem sama ada sebagai pelakon atau pekerja produksi.  Antara filem yang menggunakan khidmatnya termasuklah Cinta, Diva Popular, Monday Morning Glory, Zaleha Ayam Patah dan Dunia Baru The Movie. Anak kelahiran Pahang ini pernah bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor sebelum memutuskan untuk menjadi artis bebas serta mengasas dan menggerakkan produksinya sendiri, Mekar Budaya Production.

 

SINOPSIS “YB JEE”

Sebuah komedi mengisahkan JEE, wanita berkerjaya, mempunyai seorang suami yang sering dibangga-banggakannya kerana memiliki ciri-ciri suami mithali. Suaminya sangat bertanggungjawab dan dalam kesibukan JEE bekerja, suaminya rela mengambil-alih sepenuhnya kerja JEE sebagai seorang suri rumah tangga. Suaminya menjaga anak, memasak, membasuh kain, menyediakan keperluan rumah tangga dan melakukan segala-gala yang dilakukan oleh seorang suri rumah tangga. JEE rasa hidupnya sangat bahagia malah kawan-kawannya menyifatkan dirinya sebagai seorang wanita yang sangat bertuah.

Persoalannya, bertuah keeee??? ....


No comments: