Monday, June 23, 2008

Gugurnya Kupiah Putih (Polidrama)



Sinopsis 

GUGURNYA KOPIAH PUTIH

Sebuah political satire yang mengaitkan dua simbol yang kontradik antara kopiah dan pistol. ‘Gugurnya Kopiah Putih’ mengambil kisah seorang pelajar beraliran agama yang akhirnya menjadi seorang penjenayah. Ia bermula dari konflik seorang pelajar yang bernama Nabil yang hilang belaian kasih sayang dari keluarganya apabila terpaksa tinggal di asrama. Dia  merayu dari ayahnya untuk keluar dari asrama tersebut dengan alasan tidak dapat menyesuaikan diri hidup disitu. Walhal, dia sering dibuli oleh pelajar senior. Ayahnya berkeras tidak membenarkannya keluar dari asrama. Ini menyebabkan dirinya memberontak dan tersemat perasaan dendam yang teramat sangat terhadap salah seorang seniornya sehingga berlakunya pergaduhan yang besar. Nabil dibuang sekolah kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pelajar senior tersebut. Selepas kejadian tersebut, sedikit demi sedikit nilai kemanusiaan yang ada dalam dirinya hilang sehingga menjadi seorang penjenayah yang dikehendaki. 

 Biodata Pengkarya

 SYAHRUL FITHRI MUSA berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Seni Persembahan Teater dan Drama dari Universiti Malaya. Kemudian, menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Sains Malaysia dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (F.A.C.T) Universiti Teknologi Mara. Beliau pernah terlibat dalam projek-projek seni persembahan di peringkat antarabangsa seperti di Korea Selatan, Myanmar, Singapura, Thailand dan Indonesia. Beliau banyak melibatkan diri sebagai pengarah, pelakon, penulis skrip dan juga di bahagian pengurusan pentas. Diantara persembahan-persembahan yang pernah dijayakannya ialah seperti ‘Tingginya Menyapu Awan’ (1997), ‘Remang Di Lorong Tua’ (1998) ‘Wau Bulan’(1999), ‘Meja Bulat’ (2000), ‘Jangan Bunuh Diri’ (2000), ‘Cinta Sumirang’ (2000), ‘Kursi’ (2000), ‘Obsesi’ (2001), Merdeka! Merdeka! Merdeka! (2002), ‘Root and Earth’ Ronggeng Rokiah’ (2003), ‘Puteri Hang Li Po’ (2004), ‘Present for Megawati’ (2004) ’Tunku Kudin’ (2004,2005) ‘Jerejak’ (2006) ‘Ram’ (2007) dan yang terbaru ‘Pentas Opera’ (2008). Selain teater, beliau juga terlibat dalam produksi drama tv dan filem.  Terbaru, beliau bertanggungjawab menggalas tugas sebagai Penolong Pengarah II dalam filem Wayang arahan Hatta Azad Khan. Beliau pernah dinobatkan beberapa anugerah seperti pengarah, pelakon dan penulis skrip terbaik di Universiti Malaya pada tahun 1999 dan 2000. Selain itu, beliau juga menjadi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Teater 2001 melalui lakonannya dalam ‘Obsesi’.  

No comments: